Maksim Investigation Bureau - the Maksim Mrvica fansite
Maksim's Biography Maksim's discography Maksim's biography Contact Maksim Maksim-related Fun Maksim-related links The Maksim photo gallery Maksim articles (from various mediums)
Klasikal + Teknotronik = Maksim
from I-Kon (15/12/2003), donated by Christina, translated by Agent J.

KEMUNCULAN Maksim Mrvica bersama albumnya, Maksim, mendapat perhatian kerana paparan konsep muzik yang unik. Lagunya dianggap sesuai diputarkan bagi mengiringi pertunjukan fesyen hingga pelancaran majlis yang grand. I-Kon berpeluang bertemu Maksim, pemuzik tinggi lampai yang singgah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

I-Kon: Bagaimana jadual promosi anda sekarang?
Maksim: Sejak empat bulan lalu, saya sibuk jelajah Jepun, Hong Kong, Korea Selatan, China, Taiwan, Filipina dan Singapura. Malah ada antaranya sudah dua kali saya kunjungi.

I-Kon: Sejauh mana sambutan terhadap album anda setakat ini?
Maksim: Walaupun album ini dikategorikan sebagai klasik, tapi golongan muda boleh menerimanya dengan baik. Ini kerana ia menggabungkan muzik pop, teknotronik dan house music. Berdasarkan promosi di rantau Asia, saya dapati kebanyakan remaja suka mendengar album ini, terutama di Hong Kong apabila saya berjaya meraih anugerah berkembar platinum.

I-Kon: Apakah lagi istimewanya album ini?
Maksim: Album pertama saya dulu hanya berkonsepkan muzik klasik dan hanya dipasarkan di kampung halaman saya di Crotia. Tapi melalui album kedua, membuka peluang untuk saya menjalankan eksperimen dengan mengetengahkan unsur elektronik muzik. Pilihan lagu klasiknya pula adalah yang terbaru tetapi digubah dengan produksi termoden.

I-Kon: Anda terlalu sibuk, bilakah anda mengisi masa bersama isteri, Ana?
Maksim: Enam minggu lalu saya hanya mendapat cuti dua hari dan pada waktu itulah saya memperuntukkan masa bersama Ana di rumah kami di London.

I-Kon: Sejak bila anda mula bermain piano?
Maksim: Sejak sembilan tahun. Dari situ, piano dan muzik klasik adalah jiwa saya.

I-Kon: Antara persembahan studio, auditorium dan konsert, mana satu anda lebih suka?
Maksim: Tentu sekali konsert kerana melaluinya saya dapat menunjukkan sepenuhnya bakat bermain piano. Dengan konsert juga, saya dapat melihat maklum balas sebenar orang ramai.

I-Kon: Siapakah yang bertanggungjawab terhadap imej anda? Adakah imej rockers sesuai dengan karier anda?
Maksim: Saya sendiri yang menciptanya. Rasanya imej ini sudah sebati dengan saya sejak dulu. Memang saya ada pereka peribadi tetapi dia muncul ketika diperlukan saja.

I-Kon: Jarang untuk kita mendengar perkembangan pemuzik dari Crotia, bagaimana corak muzik di sana?
Maksim: Seperti juga pemuzik di Eropah, muzik di sana banyak dipengaruhi muzik dari Amerika Syarikat terutama genre pop. Namun, remaja Crotia masih menjadikan muzik klasik sebagai pilihan utama mereka.

I-Kon: Anda menjelajah dengan piano yang sama?
Maksim: Ya, saya akan pastikan, hanya tiga piano bersama saya iaitu Yamaha, Fazioli dan Steinway supaya persembahan berjalan lancar.

I-Kon: Bagaimana dengan jadual latihan?
Maksim: Selalunya saya akan berlatih di bilik sekurang-kurangnya dua jam sehari. Jika ada konsert saya maksimumkan tujuh sehingga lapan jam sehari. Disebabkan pernah beberapa kali terbabit dengan kemalangan di tangan, saya seboleh-bolehnya mengelak melakukan kerja berat bagi menjaga jari-jemari saya ini.